17.10.12

berhenti sejenak

sibuknya kamu!
to-do-list itu semakin hari semakin panjang
walaupun setiap hari ada yang dipotong
ada pula penambahan perkataan yang baru ke dalam senarai itu.

sibuknya kamu!
berkejar ke sana, berkejar ke sini
hinggakan kereta yang baru kamu guna itu
jauh perjalanannya melebihi orang yang beli kereta 2 tahun.

sibuknya kamu!
mesyuarat sana, kursus sini
program sana, seminar di sini
nak bercuti pun perlu fikir banyak kali
bagaikan kamu seorang sahaja yang ada??

sibuknya kamu!
hinggakan tenang yang kamu cari tersepit
di antara ruang dan celah kesibukan
berhenti lah sejenak!

setiap kali lepas solat, ambillah masa
masa untuk koreksi diri sedalamnya
persoalan-persoalan kehidupan
untuk apa kamu hidup?
untuk apa kamu bekerja?
untuk apa kamu buat itu?
untuk apa kamu berada di sini?

bukan semua orang yang berpaling kepada masa lalu itu tidak maju
bahkan orang yang tidak lupa masa lalunya lebih mudah untuk yakin ke depan
sesekali, intailah masa lalu itu
yang pernah ada dalam kamus hidup kamu
kerana dengan masa lalu, kamu beroleh pengalaman
menghadapi masa depan

undurkan ingatanmu ke dalam waktu kecilmu dahulu
di saat kamu rasa kamulah orang paling gembira dalam dunia ini
punya kawan untuk bermain tanpa fikirkan kesedihan
kalau ada kesedihan pun, hanya sementara
fikiran kamu di waktu itu sangat polos
(sebab tu kamu boleh bergaduh dan seminit kemudian berbaik kembali)

ke hadapan sedikit memori itu
masuk ke zaman kamu sekolah menengah
sekolah di sekolah tidak bercampur lain jantina
semakin rancaklah kamu berkawan dan menambah kawan
di waktu kamu sangat tenang dengan suasana sekolah yang menjaga
usrah, program, tamrin, qiam menjadi rutin bulanan
kamu seronok sekali!
kamu tenang sekali!
kamu bahagia sekali!

lalu, kemudian kamu melangkah ke alam belajar tanpa baju uniform
kamu mula bergaul dengan kaum yang berlawanan jantina
belajar mengadaptasi suasana
tapi kekok itu masih jelas terpancar
dari gerak gerimu, tutur katamu, cara kamu mengawal hati
waktu itu kamu berkata : masa ini masa ujian, praktikkan apa yang dipelajari
jangan sesekali goyah pendirian

akhirnya, kamu berjaya merangkul sebuah ijazah
dan kamu mula bekerja
di saat ini, semuanya bermula kembali
kamu diuji lagi
dengan mahmudah yang kamu cuba terapkan dalam diri
keikhlasan dan kesabaran sentiasa akan teruji
tapi ia bukan mudah semudah berkata-kata
saban hari, keyakinanmu mula meluntur
kamu rebah.
rebah!
Allah!
dan Dia berbaik hati
menunjukkan kamu jalan terbaik
mencampakkan rasa bahawa Dia ada bersama kamu
walau apa jua keadaanmu
kerana Ar-RahmanNya tidak mengenal sesiapa

kini
kamu di sini
sibuknya kamu!
dengan urusanmu yang tak berkesudahan itu
sudah lupakah kamu bahawa akhirat itu alam yang pasti?
bagaimana dengan persediaannya?

ujian takkan pernah berhenti
tapi jangan sesekali kamu lari dariNya
berapa banyak tazkirah kamu tatap setiap hari
berapa pertambahan iman kamu setiap waktu?


.
.
.
.
.

hidup ini bukan sentiasa melintang
bukan juga sentiasa menegak
'istanna syuwaiyyah'.

'jangan sangka sesuatu yang buruk sahaja adalah ujian. nikmat juga kadang kala merupakan ujian'