jauhmu dariku adalah kerana Allah. sepimu dariku adalah kerana kesibukan seharianmu sebagai penuntut ilmu. senyapmu adalah kerana jadualmu padat sebagai pejuang agama Allah. diammu adalah kerana dirimu dikelilingi sahabat-sahabat yang soleh solehah.
dan aku hanya terdaya meminta dan terus meminta dari Allah agar sentiasa memelihara sahabat yang aku cintai ini dengan sebaik-baik penjagaan. kerana hatiku selalu yakin bahawa tiada penjaga yang lebih hebat jagaannya selain dari Allah yang Esa. hatiku terpujuk, jiwaku menunduk, perasaanku terduduk.
sekeping hati ini aku berikan kepada Allah, lantunan doa buat sahabat yang sentiasa hadir di setiap sujud terakhir dalam solatku.
sahabatku,
di saat mereka memandang rembulan, melempar padangan pada keluasan langit, menjatuhkan hati memandang debu tanah yang berhembus perlahan, aku tidak mampu menutup rasa hatiku kerana kita sebenarnya punya kiblat yang satu. hanya itu yang mampu mendamaikan ripuh gelora kalbuku saat merindui dirimu wahai sahabat.
sahabatku,
walau di mana dirimu berada, apakah di utara, selatan, timur mahupun barat, aku selalu mendoakan kesejahteraan buatmu biarpun diriku tidak lagi beriringan di sisimu. kita tetap bersama dalam doa dan sujud saat memandang kiblat yang satu.
bicara pedusi, wardah syaukiyyah.
