sahabatku,
tatkala relung hati terbuka, terkenang kembali memori lama yang tercipta. adakala kita ketawa riang, tersenyum simpul, beramah mesra dan saling beriringan. adakala ujianNya datang menghampiri bagi mengukuhkan keutuhan ukhuwwah kita. Dia sengaja memberikan semilir yang mendamaikan. Dia sengaja mengaturkan onak berduri untuk kita sama-sama redahi.
sahabatku,
aku masih teringat akan senyuman manismu, santun pekerti dan lembut katamu pada hatiku. "bagaimana akan mendapat ilmu yang berkat dan bermanfaat andai pekerti tidak seperti orang yang ingin menadah ilmu? bagaimana ilmu akan mudah diingati dan dizahirkan dengan akhlak andai hati belum lurus kepada Ilahi? kita berjuang kerana Allah, kalah dan menang bukan debatnya tetapi jalan berliku yang membawa kepada Tuhan akan digagahi walau kudrat badan tidak segagah pahlawan agung, kita tetap berusaha menjadi srikandi. impian yang besar pada usaha yang sangat kecil, tetapi itu lebih baik dari hanya berimpian tanpa ada usaha mencapainya"
aduh, betapa hati ini terbuka akan nasihat keimanan darimu. benar, hidup mati ini untuk Allah. apakah akan tersimpan setiap duka andai biasan bahagia menanti di hadapan? andai mereka menangis kerana gagal di dunia, kita tetap menangis di dunia kerana gagal menjadi contoh kepada yang lain. gagal membawa mereka kepada Islam yang mulia.
sahabatku,
alirkanlah airmata. biarlah kering airmata kita di dunia ini. aku harapkan kita sama-sama akan beriringan tangan di alam abadi kelak. kita sama-sama tersenyum dan ceria. hidup ini hanya satu permusafiran, sama ada jambatan itu kukuh, roboh atau berlopak di sana-sini. kitalah yang akan menjadi arkitek dan kontraktor pada jambatan hidup kita.
sahabatku,
telah Allah berikan jalan untuk kita. diberikan Islam sebagai agama dan diberikan Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah. apakah kita masih terba-raba di lorong sepi bagai hilang punca dan tenggelam arah tuju?
sahabatku,
aku harap kita akan terus berpegang tangan, sama-sama beriringan menuju Khalik. saat air mata menitis kerana tak terbendung perasaan cinta dan rindu pada dirimu yang jauh dari mataku, aku segera memujuk sekeping hati agar tunduk pada Ilahi.
No comments:
Post a Comment